‘Lockdown’ Di Pulau Gaya, Video Penduduk Keluar Beramai-ramai Palsu

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Video yang viral di media sosial menunjukkan sekumpulan besar masyarakat Pulau Gaya keluar ke Kota Kinabalu untuk mencari makanan dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan adalah berita palsu.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, rakaman yang disebarkan itu adalah video lama.

“Tiada sesiapa yang dibenarkan masuk atau keluar dari pulau itu,” katanya seperti dilaporkan.

Dalam video tersebut, seorang lelaki mendakwa ramai penduduk dari pulau itu keluar ke tanah besar untuk mendapatkan bekalan makanan dan gagal dikawal ileh pihak polis.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass juga telah meninjau situasi di Pasar Kota Kinabalu petang semalam yang merupakan tempat penduduk Pulau Gaya mendarat.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah semalam mengesahkan Pulau Gaya ditutup daripada sebarang aktiviti kemasukan atau keluar oleh orang awam selepas kes Covid-19 dikesan di situ.

Katanya, pasukan perubatan telah masuk ke pulau itu untuk melakukan pemeriksaan.