LLPM Hulur Bantuan Hari Raya Kepada Guru Dan Pelajar Tahfiz

98

LABUAN: Pengendali pelabuhan kontena Labuan, Labuan Port Management Sdn Bhd (LLPM) meraikan hampir 200 pelajar serta guru dari tiga buah sekolah tahfiz di sini dalam satu majlis berbuka puasa serta menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidil Fitri dalam satu majlis Sabtu malam.

Ketua Pegawai Eksekutif LLPM yang juga Presiden Dewan Perniagaan Melayu Labuan Datuk Seri Mohd Alias Abd Rahman menyampaikan sumbangan RM100 kepada setiap 180 pelajar serta guru sekolah tahfiz berkenaan pada majlis yang diadakan di dewan LLPM.

Pada majlis itu beliau juga menghulurkan bantuan RM3,000 kepada setiap sekolah tahfiz iaitu Madrasah Tahfiz Al-Quran Sri Merinding, Pusat Bimbingan Tahfiz Quran Al Ummi and Maahad Tahfiz Al Quran Al Badr.

Mohd Alias berharap sumbangan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban pelajar serta guru berkenaan dalam menyambut Aidilfitri nanti manakala sumbangan kepada sekolah diharap dapat membantu pentadbiran sekolah dalam urusan seharian untuk faedah para pelajar.

“Memberi kepada masyarakat merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial pihak syarikat kepada penduduk Labuan dan ia akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Turut menyampaikan sumbangan ialah Pengarah Operasi Tunas Rakyat Sdn Bhd Datin Seri Norsiah Abdullah and Pengarah Perikanan Labuan Sdn Bhd director Rokiah Ibrahim.