Lindungi Pemalsuan Pengisytiharan Cukai Jualan Minyak Sawit Mentah, Lelaki Bergelar Datuk Ditahan SPRM

KOTA KINABALU: Seorang lelaki bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan tindakan melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah setiap bulan kepada Kementerian Kewangan Sabah (MOF).

Suspek berusia 66 tahun yang juga bekas penjawat awam ditahan di pejabat SPRM Sabah, kira-kira jam 4 petang tadi ketika hadir memberi keterangan.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan permohonan reman ke atas suspek dijangka dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok.

Pada 18 Mei lalu, seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan negeri dan seorang pesara kerajaan ditahan SPRM Sabah kerana dipercayai meminta serta menerima rasuah berjumlah kira-kira RM700,000 daripada sebuah syarikat kilang sawit sebagai balasan untuk melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah setiap bulan kepada MOF.

Mahkamah membenarkan kedua-dua individu terbabit ditahan reman selama tujuh hari bermula 19 Mei hingga 25 Mei 2022.

Menurut Karunanithy, mengemukakan pengisytiharan palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.