Lima Teras Strategik Merangsang Penglibatan Koperasi Dalam Sektor Ekonomi

Sairin menerima cenderakenangan daripada Christopher, kanan, sambil disaksikan oleh Anthony.
Sairin menerima cenderakenangan daripada Christopher, kanan, sambil disaksikan oleh Anthony.

OLEH AMAN KASSIM
KENINGAU: Kerajaan meletakkan harapan agar sektor koperasi dapat menjadi sektor ketiga penjana ekonomi negara selepas sektor awam dan sektor swasta.

Pembantu Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Datuk Hj. Sairin Hj. Karno berkata, berdasarkan harapan kerajaan ini, gerakan koperasi perlu menyambut dengan penuh komitmen dan perlu terus mengadaptasi atau menyesuaikan diri terhadap apa juga dasar dan polisi yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan dalam usaha mencapai wawasan Malaysia sebagi sebuah negara maju berpendaatan tinggi.

Katanya, Dasar Koperasi Negara (DKN) yang mula diperkenalkan pada tahun 2002 telah dikaji semula dan diperkasakan pada tahun 2012 demi mengadaptasi dan mengambilkira perkembangan-perkembangan terkini yang berlaku dalam ekonomi negara amnya dan dalam sektor koperasi khasnya.

“Dasar koperasi negara ini telah mengenalpasti lima teras strategik pembangunan koperasi yang seharusnya diadaptasi oleh gerakan koperasi itu sendiri” katanya semasa berucap merasmikan Bicara Ilmu “Adaptasi Polisi Dan Dasar Kerajaan Terhadap Koperasi” anjuran Maktab Koperasi Malaysia Zon Sabah di hotel perkasa di sini pada Sabtu.

Sairin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.34 Liawan berkata, lima teras strategik itu adalah merangsang penglibatan koperasi dalam sektor ekonomi bernilai tinggi, memantapkan keupayaan dan kebolehan koperasi, mewujudkan dan meningkatkan keupayaan modal insan koperasi, meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap gerakan koperasi dan memperkukuhkan koperasi melalui seliaan dan penguatkuasaan berkesan.

Beliau berkata, DKN telah berjaya menyediakan persekitaran yang kondusif bagi perkembangan gerakan koperasi secara teratur.

“Pelaksanaannya dilakukan melalui program pembangunan perniagaan, akses kepada sumber pembiayaan, penerapan pembudayaan keusahawanan, pengemaskinian perundangan dan peningkatan dalam pengawal seliaan koperasi” jelasanya.

Katanya, impak daripada pelaksanaan program ini adalah peningkatan dalam pertumbuhan gerakan koperasi, kesejahteraan masyarakat koperasi dan yang penting sekali ialah peningkatan sumbangan gerakan koperasi kepada pembangunan negara seperti yang diharapkan.

Dibawah DKN katanya, pihak kerajaan telah mengenalpasti enam bidang ekonomi utama (NKEA) yang boleh diceburi oleh gerakan koperasi dalam usaha menjana kekayaan iaitu, bidang Perkhidmatan Kewangan, Pemborongan dan Peruncitan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Perladangan dan Hartanah dan Industri Pembinaan.

Justeru itu katanya, adalah amat penting bagi masyarakat di segenap lapisan termasuk sektor koperasi untuk menyokong dan mengadaptasi semua dasar dan polisi yang diwujudkan oleh kerajaan bagi merealisaasikan hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Hadir sama Pengarah Maktab Koperasi Malaysia Zon Sabah Christopher John Babtist, Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Keningau Anthony Ungkir Tee, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Liawan Sahanif Jamil dan Pengurus Cawangan Bank Rakyat Keningau Abdul Aziz Bin Zainodin.