Lima Rumah Musnah Dalam Kebakaran Di Taman Sepanggar Baru

431

KOTA KINABALU: Lima rumah teres musnah dalam kebakaran yang berlaku di Taman Sepanggar Baru, di sini petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 5.05 petang.

Enam jentera dan lima kenderaan utiliti dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan anggota seramai 39 orang.

Menurut ketua operasi, lima rumah teres dua tingkat terjejas dalam kebakaran itu. Tiga rumah terbakar sepenuhnya manakala, dua buah rumah terbakar 40 peratus.

Pasukan bomba berusaha melakukan operasi pemadaman menggunakan tiga aliran 300 kaki dengan enam pancutan sumber air dari pili bomba berdekatan dan bantuan lori tangki air.

Bagaimanapun, pasukan bomba berdepan kesukaran memadam kebakaran pada peringkat awal disebabkan tekanan air yang rendah. Namun, kebakaran itu berjaya dipadamkan sebelum ia memusnahkan sederet rumah teres di taman perumahan berkenaan.

Tiada sebarang kecederaan mahupun kematian dilaporkan terlibat dan operasi terkawal pada jam 6.21 petang.