Lima Rentung Di Tenom Termasuk Ibu Dan Tiga Anak

Seorang ibu dan tiga anaknya rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Menara Pamilaan awal pagi Selasa. Seorang lagi mangsa yang maut adalah anak saudara kepada ibu itu. – Gambar ihsan Bomba Sabah

Oleh ARDYHANSAH AMAT dan ILONA ANDREW
TENOM: Lima sekeluarga rentung termasuk seorang ibu dan tiga anaknya dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Menara Pamilaan, dekat sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa, Khatijah Omar, 35; anaknya, Sakirin Sudirman, 9; Zahid, 6, dan Sapura, 3, ditemukan rentung sepasukan bomba yang melakukan operasi pemadaman api.

Seorang lagi mangsa yang maut adalah Adira Suhaili, 12, anak saudara kepada Khatijah.

Suami mangsa, Sudirman Hajar pula berjaya menyelamatkan diri, namun melecur di kepala dan tangan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi kenyataan media berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 12.46 tengah malam, tadi.

“Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, sebuah rumah kayu sedang terbakar dan anggota bomba bertugas bergegas ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran,” katanya.

Tambahnya, api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 1.25 pagi.

“Terdapat enam mangsa kebakaran iaitu lima daripadanya rentung manakala seorang lagi cedera dengan kesan lecur pada kepala dan tangan.

“Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Tenom oleh orang ramai untuk rawatan lanjut,” katanya.

Kebakaran itu juga menyebabkan sebuah rumah dan kenderaan Perodua Kancil musnah sepenuhnya.

“Sehingga kini, kami masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian,” katanya.