Lima Pemburu Haram Ditahan

105

Oleh ARDYHANSAH AMAT
KINABATANGAN: Lima pemburu haram termasuk empat lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti pemburuan haram di Sungai Tandu Batu, dekat sini, lewat malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, unit Platun Tiger daripada Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran turut menemukan seekor bangkai rusa yang sudah dipotong, selaras senapang buatan sendiri jenis bekakuk, peluru hidup dan parang dipercayai digunakan untuk aktiviti pemburuan haram tersebut.

Pegawai Pemerintahnya, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M Nasir mengesahkan kejadian itu dalam satu kenyataan media, hari ini.

“Terdahulu kami menerima maklumat daripada Dr. Isabelle Lackman, seorang primatologi daripada pertubuhan bukan kerajaan bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) berhubung pemburuan haram di kawasan Pusat Pemeliharaan Hidupan Liar Sukau, Kinabatangan.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota Platun Tiger diketuai Inspektor Mohd. Damsa Dahlan melancarkan Op Khazanah  dan membuat rondaan di Sungai Tandu Batu sebelum menemukan satu khemah didirikan di tebing sungai dipercayai milik pemburu haram,” katanya.

Menurut Mohd. Nasaruddin, curiga dengan perkara itu, anggota bertugas kemudian melakukan pemeriksaan di khemah terbabit dan menemukan beberapa barangan termasuk senjata dipercayai digunakan untuk aktiviti haram itu.

“Turut ditemukan sebuah bot panjang berwarna hijau dipercayai dinaiki sekumpulan lelaki yang bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa di situ.

“Selang 15 minit kemudian, pasukan bertugas berjaya mengesan sekumpulan lima lelaki menaiki sebuah bot berwarna biru sedang dalam perjalanan ke arah khemah tersebut,” katanya.

Platun Tiger yang bertugas kemudian menghampiri bot tersebut dan menahannya untuk melakukan pemeriksaan rutin sebelum menemui selaras bekakuk dan seekor rusa yang sudah mati dan dipotong dua dalam bot tersebut.

“Semua suspek lelaki terdiri daripada empat warga tempatan dan seorang warga Filipina berumur 33 hingga 51 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran melakukan pemburuan haiwam tersebut.

“Sehubungan itu mereka ditahan dan barangan termasuk bangkai rusa tersebut dianggarkan bernilai RM33,000 dirampas serta diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah Kinabatangan, untuk tindakan lanjut,” katanya.