Lima Nelayan Vietnam Kaut Balat Secara Haram Di Kudat Ditahan

Nelayan Vietnam yang ditahan di perairan Kudat kelmarin.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat menahan lima nelayan warga Vietnam selepas didapati menangkap hidupan laut secara haram di Pulau Sibongor Laut, Kudat, Sabah kelmarin.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kudat, Leftenan Maritim Musa Dail berkata, kesemua lelaki tersebut ditahan di kedudukan 33.3 kilometer timur laut dari Pulau Sibongor kira-kira pukul 10 pagi.

Beliau berkata, lima tekong dan awak-awak berusia antara 29 hingga 39 tahun tersebut turut didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Pegawai Maritim Malaysia menunjukkan balat yang dirampas dalam bot nelayan Vietnam yang beroperasi secara haram di perairan negara.

“Nilai keseluruhan rampasan bot serta balat dianggarkan sebanyak RM600,000 dan kuantiti balat yang dirampas dianggarkan seberat 500 kilogram.

“Ini merupakan kes kesembilan melibatkan tangkapan balat di Perairan Kudat pada tahun ini yang mana bot-bot ini menggunakan peralatan yang diharamkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Musa berkata, balat atau timun laut merupakan sejenis hidupan laut unik yang dianggap makanan mewah serta berkhasiat dan Sabah menjadi perhatian para penggemarnya dari seluruh dunia.

Menurutnya, permintaan dalam dan luar negara yang tinggi merupakan salah satu faktor yang menarik nelayan-nelayan asing untuk mengaut hasil negara ini secara haram.

Bot tanpa permit yang digunakan nelayan Vietnam untuk mengaut hasil laut di perairan Sabah.

“Bot beserta kesemua nelayan Vietnam tersebut kemudian diiring ke Jeti Sabah Port Kudat sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.