Lima MoU dimeterai antara syarikat Malaysia & China, Darell Leiking

85
Wakil syarikat Malaysia-China bertukar dokumen MoU, sambil disaksikan oleh Darell (tiga kiri) dan Miao Wei (dua kanan).

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sebanyak lima Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai antara syarikat Malaysia dengan syarikat China menerusi perbincangan meja bulat yang diadakan di sini, pada Jumaat.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking berkata, MoU yang ditandatangani itu termasuk dua bersama agensi kerajaan manakala, tiga lagi bersama syarikat swasta yang beroperasi di Sabah.

Beliau berkata, dua MoU itu melibatkan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan SIRIM bagi agensi kerajaan.

Katanya, MARii menjalin kerjasama bersama Center for International Economic & Technological Cooperation (CIETC) bagi bekerjasama dalam industri automotif, robotik dan Internet of Thing (IOT) serta bekerjasama dalam menjalankan kajian mengenai pelaksanaan projek untuk mewujudkan ‘Pusat Inovasi Automotif Kerjasama China-Malaysia’.

“Bagi SIRIM dan Huawei Technologies Malaysia pula menjalin kerjasama bagi menuju ke arah Revolusi Industri 4.0 (RI 4.0) dan ‘Smart Manufacturing’ atau Pembuatan Pintar.

“MoU bersama sektor swasta yang ditandatangani melibatkan K.T.I Sdn Bhd dan Sany Construction Industry Development Sdn Bhd; Memorandum Perjanjian antara PP Telecommunication Sdn Bhd dan China Wuhan Fiber-Home Telecommunication Technologies Co.Ltd serta MoU antara NHY Borneo dan Sany China,” katanya ketika ditemui selepas Perbincangan Meja Bulat bersama 23 syarikat Malaysia dan beberapa syarikat China, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, perbincangan meja bulat yang diadakan bagi mewujudkan ‘Smart Manufacturing’ itu melibatkan pengggiat utama industri pembuatan seperti Huawei Malaysia, Kumpulan Beidou Communication, First Solar, Proton, Perodua, Hikvision, Hisense, Jinko serta beberapa syarikat lain yang sudah lama beroperasi dan baru beroperasi di Sabah.

Darell (tiga kiri) bersama Miao Wei (dua kanan) dan Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu Liang Caide (kanan) semasa Sidang Media selepas Perbincangan Meja Bulat itu diadakan.

Beliau berkata, perbincangan sebegitu adalah medium yang baik untuk usahawan Malaysia dan China berkongsi idea, pengetahuan dan kepakaran berkaitan teknologi pembuatan pintar dan amalan perniagaan global.

“Perbincangan itu penting untuk mengukuhkan hubungan dagangan antara kedua-dua negara terutama dalam teknologi baharu yang digunapakai dalam industri automotif, elektronik, telekomunikasi dan sektor mobiliti yang berada seiring dengan Revolusi Industri 4.0.

“Saya percaya hubungan perniagaan yang terjalin hari ini akan membuka ruang kepada usahawan di Malaysia untuk terlibat dalam rangkaian perniagaan global. Saya berharap perbincangan meja bulat yang diadakan di Sabah ini akan membuka peluang untuk kominiti peniaga sampai ke wilayah ini pada masa akan datang,” jelasnya.

Darell berkata, China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia bagi tempoh 10 tahun berturut-turut. Dagangan antara China-Malaysia mencecah sejumlah RM313.8 bilion pada 2018. Manakala eksport Malaysia ke China pula berjumlah RM138.8 bilion yang memperlihatkan peningkatan eksport dalam bahan kimia, gas cecair asli (LNG), pengangkutan dan produk makanan diproses.

Sementara itu, Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China Miao Wei berkata, kerjasama yang terjalim antara syarikat China dan Malaysia itu akan memperkukuhkan lagi hubungan dagangan antara kedua-dua negara.

Katanya, dibawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, hubungan diplomatik antara China-Malaysia semakin bertambah kukuh.