Lima Kru Selamat Dalam Kejadian Barge Tenggelam

LABUAN: Lima kru barge dan bot kargo yang membawa muatan air tawar terselamat apabila barge dinaiki tenggelam di perairan Pulau Kuraman akibat cuaca buruk semalam.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Labuan telah menerima aduan berkaitan kejadian berkenaan.

Bot peronda Maritim yang sedang melakukan rondaan Op Sejahtera telah ditugaskan ke lokasi kejadian dan menjumpai sebuah bot kargo yang sedang berusaha untuk menyelamatkan kru barge yang telah tenggelam.

Kesemua mangsa yang berusia antara 30 tahun hingga 45 tahun telah dipindahkan ke Bot Tunda yang berada berdekatan. Semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pihak syarikat akan melakukan usaha pengapungan semula barge berkenaan.

Justeru itu, sebarang kejadian kecemasan dan kemalangan di laut mohon segera dilaporkan terus melalui talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999.