Lima Keluarga Mangsa Kebakaran Terima Bantuan

Japlin (depan-tiga kanan) semasa melawat mereka yang dilanda musibah, mangsa kebakaran di Kampung Pinolobu.

KOTA BELUD: Prihatin dengan musibah yang menimpa lima keluarga yang terjejas akibat kebakaran, Parti Pribumi Rakyat Malaysia (BERSATU) Kota Belud tampil menghulurkan bantuan.

Ketua Bahagian BERSATU Kota Belud, Datuk Japlin Akim, dalam berdepan dengan pandemik Covid-19, lima keluarga ini diuji apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung (Kg) Pinolobu, baru-baru ini.

“Untuk itu, saya terpanggil untuk turun padang melawat mereka dan bertanya khabar, selain melihat sendiri keadaan mereka,” katanya ketika dalam sesi kunjungan pada Ahad.

Beliau turut menyerahkan sumbangan barangan keperluan makanan kepada lima keluarga dari lima kediaman yang terlibat dalam kebakaran di Kg Pinolobu itu.

Japlin turut mengajak semua rakyat untuk menjadi masyarakat prihatin dan saling bantu membantu kepada golongan yang memerlukan.

“Mari kita bersama-sama mengambil berat dan prihatin pada keluarga, jiran dan saudara kita tidak kira jauh dekat serta kenalan kita dalam komuniti.

“Amalan bantu-membantu bagi meringankan beban mereka yang dilanda kepayahan dan musibah ini amat besar ganjaran pahalanya. Disamping itu, ia dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia,” jelasnya.