Lima Kedai Hangus Terbakar Di Telupid

Oleh AZIS KHAN
TELUPID: Lima buah kedai dalam sederet bangunan di Kampung Gambaron 1 di sini musnah dalam kebakaran yang bermula kira-kira pukul 4.30 petang ini.

Ketika api mula marak, semua premis tersebut tutup sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Kelima-lima kedai tersebut terdiri daripada restoran, bengkel motosikal, kedai runcit, kedai menjual tayar dan stor penyimpanan barangan runcit.

Pihak bomba dari balai bomba Beluran hanya tiba di lokasi pada pukul 5.46 petang kerana balai bomba berkenaan terletak lebih 100 kilometer dari Telupid.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan anggota polis dari Balai Polis Telupid bagaimanapun telah berada di lokasi kejadian sebaik sahaja kebakaran bermula untuk mengawal keadaan.

Difahamkan, tiada mangsa cedera atau kemalangan jiwa dalam insiden berkenaan.