Liga Super: Sabah Pintas JDT Di Puncak Liga, Tewaskan Pahang 2-1

KOTA KINABALU: Sabah FC memintas Johor Darul Ta’zim (JDT) di kedudukan teratas Liga Super selepas menewaskan Sri Pahang FC,
2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam semalam.

Ini kemenangan ketiga berturut-turut dicatatkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang membolehkan The Rhinos mengatasi JDT, dengan kelebihan dua mata.

JDT setakat ini mengumpulkan 16 mata selepas beraksi enam perlawanan.

Sabah FC tidak perlu menunggu lama untuk membuka jaringan menerusi penyudah jarak dekat Neto Pessoa di minit ke-10.

Gawang pasukan pelawat bocor lagi lapan minit berselang selepas Taiki Kagayama mudah melepasi kawalan pemain Sri Pahang FC dan melepaskan rembatan kencang menewaskan Zarif Irfan Hashimuddin untuk gol kedua tuan rumah.

Bersambung babak kedua, Sabah berpeluang menambah jaringan ketiga di minit ke 55, namun sepakan penalti Baddrol Bakhtiar melambung tinggi.

Sri Pahang FC merapatkan jurang menerusi sepakan penalti Manuel Hidalgo pada minit ke-60.

Sabah diberikan sepakan penalti buat kali kedua, namun sepakan Pessoa pada minit ke-74 diselamatkan Zarif Irfan.

Keputusan muktamad di Stadium Likas, Sabah FC 2-1 Sri Pahang FC.