Liga Super : Jaringan Minit Akhir JDT Kecewakan Sabah Di Likas

KOTA KINABALU : Kesilapan di minit akhir perlawanan memberikan sepakan percuma di luar kotak penalti menyaksikan Sabah FC terpaksa akur dengan kekalahan 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di gelanggang sendiri dalam aksi bolasepak Liga Super di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Skuad Harimau Selatan akhirnya membawa pulang tiga mata penuh menerusi dua gol penyerang import dari Argentina, Fernando Forestieri, pada minit ke-26 dan ke-95, sekaligus mengecewakan lebih 20,000 penyokong Sabah yang membanjiri Stadium Likas.

Umpama `buku bertemu ruas’, aksi antara pendahulu Liga Super, JDT dan Sabah FC yang berada di tangga kedua, bermula rancak dengan kedua dua pasukan saling berbalas serangan sejurus wisel perlawanan dibunyikan.

Sabah FC mengasak gawang JDT menerusi percubaan Saddil Ramdani, Gary Steven Robbat dan Taiki Kagayama.

Pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu menggamatkan suasana di Stadium Likas apabila berjaya menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias untuk Sabah mendahului 1-0 pada minit ke 18.

Tersentak dengan gol itu, JDT melancarkan serangan bertali arus ke gawang Sabah yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.

JDT akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-26 melalui Forestieri menerusi percubaan dalam kotak penalti.

Sabah yang menurunkan penyerang import baharu dari Portugal, Jose Embalo, gagal menambah jaringan.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Di babak kedua, tiada gol dihasilkan kedua-dua pasukan sehinggalah ke masa tambahan.

Ketika perlawanan seakan berakhir seri, JDT dihadiahkan sepakan percuma di luar kotak penalti akibat kekasaran pertahanan Sabah ke atas pemain JDT.

Sepakan percuma di minit ke 95 itu dimanfaatkan Foristeri untuk gol kemenangan JDT, sekaligus mengecewakan penyokong tuan rumah.

Dengan kejayaan mengutip tiga mata penuh di Stadium Likas, JDT kekal di tangga teratas Liga Super dengan 26 mata.

Manakala Sabah di tangga kedua dengan 22 mata.