LHDN Kutip Hampir RM10.1 Juta Melalui Pengakuan Sukarela – Hajam

597
Hajam, kiri, membuat kunjungan Hormat kepada Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini pada Jumaat.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Hampir RM10.1 juta berjaya dikutip Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setakat ini sejak Program Khas Pengakuan Sukarela diperkenalkan pada November tahun lalu.

Pengarah LHDN Datuk Hajam Lajah Alam berkata, jumlah itu dikutip melalui 156 orang pembayar cukai yang hadir secara sukarela ke pejabat LHDN.

Mereka yang tampil itu terdiri daripada lima kategori iaitu pembayar cukai tidak berdaftar, pembayar cukai berdaftar tiada cukai pendapatan, pembayar cukai lapor pendapatan, pembayar cukai kurang lapor pendapatan dan kumpulan yang dikenakan duti setem.

Dengan itu, beliau meminta pembayar cukai buat pengakuan secara sukarela tanpa sebarang prasangka.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Kunjungan Hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini pada Jumaat.

LHDN menawarkan kadar penalti rendah antara 10 hingga 15 peratus kepada mana-mana pembayar cukai yang tampil membuat pengakuan sepanjang program berkenaan yang berlangsung sehingga 30 Jun ini.

Kadar penalti asal adalah antara 80 peratus hingga 300 peratus yang akan dikenakan bermula 1 Julai 2019.