Lesen Perkapalan Tamat Tempoh, Dokumen Mencurigakan, Kapal Tangki Ditahan Maritim Malaysia Di Labuan

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan menahan sebuah kapal tangki di perairan Labuan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan, semalam.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, Kapal
Maritim BISTARI yang sedang
melakukan rondaan Op Benteng dan Op
Sejahtera telah mengesan sebuah kapal tangki yang sedang berapung dan dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 14.1 batu nautika barat laut Pulau Labuan.

Pemeriksaan mendapati kapal tangki berkenaan dikendalikan 5 kru warganegara Indonesia dan India berusia lingkungan 25 tahun hingga 42 tahun.

Dua daripadanya tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang lengkap.

Menurut Nudin, selain itu, pemeriksaan turut mendapati kapal tangki berkenaan beroperasi menggunakan Lesen Perkapalan Domestik (DSL) yang tamat tempoh.

Dokumen kapal juga mencurigakan.

“Kapal bersama kru ditahan dan di dibawa ke Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.