Lesen Ambil, Eksport Batu Karang Dikeluarkan BN Akan Digantung

96

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Semua aktiviti mengambil batu karang di perairan negeri ini untuk dieksport akan dihentikan selepas timbul bantahan daripada pelbagai pihak yang mendakwa hasil laut itu dikeluarkan dari perairan Semporna.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong berkata, empat lesen untuk mengeluarkan batu karang serta mengeksportnya yang diberikan oleh kerajaan Barisan nasional (BN) kepada empat syarikat sebelum ini akan digantung.

“Kementerian saya akan menggantung aktiviti mengambil dan mengeksport batu karang selepas mendapat kelulusan Kabinet negeri.

“Ya memang salah dilakukan kerajaan terdahulu, kami akan memperbetulkannya. Kami akan lakukannya segera, tiada penangguhan,” katanya ketika ditanya tentang pengambilan batu karang di Semporna yang ditularkan di media sosial baru-baru ini.

Gambar ehsan FB Laili Basir

Siasatan mengenai tindakan mengambil batu karang di perairan Semporna itu masih dijalankan ketika ini.

Menurut Junz, terdapat empat syarikat memegang lesen untuk mengambil batu karang di perairan itu bagi tujuan eksport ke Singapura dan Korea untuk digunakan sebagai perhiasan dalam akuarium.

Selasa lalu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew yang mengulas isu berkenaan berkata, aktiviti mengeluarkan batu karang itu terletak di luar kawasan Taman Pulau Sipadan dan Taman Marin Tun Sakaran yang meliputi lima buah pulau serta kawasan terumbu karang yang berkeluasan kira-kira 350 kilometer persegi.

“Kami memandang serius isu pengambilan batu karang ini,” katanya berkaitan isu itu yang telah dibangkitkan oleh komuniti penyelam.

Sebelum ini, beberapa keping gambar yang membawa mesej ‘No To Coral Export’ tular di laman sosial facebook.

Gambar ehsan FB Laili Basir

Pemilik akaun Facebook bernama Laili Basir berkata, mereka tidak tahu sama ada pengambilan batu karang itu dilakukan secara sah atau melanggar undang-undang, namun bertujuan menyedarkan orang awam dengan aktiviti tersebut.

Katanya, aktiviti tersebut berlaku di jeti Semporna pada 3 Oktober lalu dan pihak berkuasa telah dimaklumkan.

Sementara itu, Christina berkata, Taman-Taman Sabah dan Jabatan Hidupan Liar di bawah kementeriannya telah diarah bekerjasama dengan Jabatan Perikanan untuk memantau aktiviti pengambilan batu karang.

Tegas beliau, aktiviti itu bukan sahaja akan memusnahkan habitat marin di Semporna serta memberi kesan kepada nelayan dan industri pelancongan tetapi turut menjejaskan imej Sabah di mata komuniti antarabangsa.

BERITA BERKAITAN :-

Pasukan Khas Ditubuh Siasat Kegiatan Curi Batu Karang Di Semporna