‘Lepas Minta Jawatan Timbalan Ketua Menteri, Jeffrey Tidak Muncul’

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PAPAR: Barisan Nasional (BN) tidak menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu sebaliknya, Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menang kerana Datuk Dr Jefrrey Kitingan ketika itu juga pembangkang.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, Jeffrey ada menghubunginya bagi menyatakan persetujuan untuk membentuk kerajaan dan dia meminta jawatan Timbalan Ketua Menteri.

“Saya beritahu Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan dan mereka bersetuju. Kami pun tunggu Jeffrey datang.

“Namun, selepas tunggu lebih sejam, dia (Jeffrey) tidak datang. Bila buka TV, dia sudah ada di Sri Gaya, dipeluknya Musa Aman. Dia sokong Musa sebagai Ketua Menteri.

“Tapi semasa PRU, Jeffrey sanggup tumbangkan abangnya, Pairin (Tan Sri Joseph Pairin Kitingan) di Tambunan. Orang Tambunan undi dia (Jeffrey) sebab dia kempen mahu tumbangkan Musa Aman, tumbangkan BN,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Pantai Manis dan Limbahau, di sini hari ini.

Selepas menang PRU, perjuangan Jeffrey berubah demi jawatan dan kepentingan diri sendiri.

Itu bukan nilai pemimpin yang rakyat mahukan. Jeffrey bukan mengejar untuk membela rakyat sebaliknya mengejar kedudukan dan jawatan.

Untuk itu, rakyat perlu bangun dan sedar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, undilah pemimpin yang akan membela rakyat Sabah demi masa depan generasi akan datang.

“Ini bukan musim Hari Raya, musim mahu dapatkan duit, mencari projek. Pilihan raya ini penting dalam menentukan masa depan anak cucu kita.

“Kalau kita tidak bertegas dalam perjuangan anak cucu kita akan menderita,” jelasnya.

Selepas PRU-14, Jeffrey merupakan salah seorang daripada tiga Timbalan Ketua Menteri yang dilantik oleh kerajaan BN, sebelum kerajaan itu tumbang dalam tempoh 48 jam.

Dua lagi Timbalan Ketua Menteri yang dilantik adalah Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Seri Hajiji Noor.

Kerajaan yang dibentuk pada 10 Mei 2018 itu bagaimanapun tumbang setelah Warisan memperolehi majoriti mencukupi selepas UPKO menyertai mereka.