Lembaga Pelancongan Sabah Bantu Pelancongan Luar Bandar Capai Standard ASEAN

KOTA BELUD: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedia memberi sokongan dalam melengkapkan komuniti luar bandar dengan kemahiran tertentu bagi menjadikan kawasan mereka sebagai destinasi pelancongan luar bandar bertaraf dunia menjelang 2025.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, berkata, Kementerian beliau (KepKAS) menyimpan harapan untuk melihat lebih banyak pengusaha pelancongan luar bandar dan berasaskan komuniti di negeri ini mencapai ASEAN Tourism Standards.

Ini berikutan pencapaian pelancongan Kadamaian yang kini giat berkembang, di mana Persatuan Pelancongan Kadamaian telah menerima ASEAN Community Based Tourism Standard 2019-2021 di Hanoi, Vietnam pada awal tahun lepas.

“Industri pelancongan adalah salah satu teras utama Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya bagi membangunkan negeri ini dalam tempoh antara 2021 sehingga 2025. Dalam pada itu, Kementerian saya mahupun pihak STB sentiasa komited memajukan masyarakat luar bandar melalui aktiviti pelancongan yang menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri,” kata Joniston.

“Dalam usaha mencapai matlamat ini, pihak STB sentiasa memberi sokongan memberi seminar dan latihan kemahiran dari segi kesedaran, keselamatan, dan pengurusan kepada persatuan-persatuan pelancongan, pengusaha pelancongan desa, dan komuniti setempat yang terlibat dalam mengusahakan aktiviti pelancongan di kawasan masing-masing,” tambahnya.

Joniston, yang juga pengerusi STB, berkata demikian dalam majlis pelancaran Dewan Terbuka Nahandang Melangkap Homestay dan Campsite di Kampung Melangkap di sini, pada Ahad.

Beliau turut menyeru agar pemain industri pelancongan luar bandar menerapkan amalan lestari dalam mengusahakan industri ini bagi memastikan pembangunan yang mampan dan berpanjangan.

Dewan Terbuka Nahandang Melangkap Homestay dan Campsite merupakan antara 85 projek membina dan menaiktaraf infrastruktur pelancongan untuk Kota Belud di bawah Sabah New Deal yang melibatkan jumlah keseluruhan bantuan kewangan hampir RM1.67 juta.

Bantuan khas ini dilaksanakan oleh Kerajaan negeri di waktu pandemik Covid-19, dimana STB membantu menyelaraskan pengagihan bantuan kewangan kepada pemain pelancongan industri tempatan yang terkesan.

Bagi merancakkan aktiviti pelancongan luar bandar, Joniston menggalak pengusaha pelancongan desa untuk terus bekerjasama dengan STB dalam mengenalpasti produk pelancongan baru yang berkualiti dan boleh dikembangkan.

Ini termasuklah meneroka potensi memperkenalkan “Dark Tourism” atau Pelancongan Gelap di daerah ini, di mana KepKAS giat merancang untuk mempromosikan konsep pelancongan ini kepada rakyat tempatan mahupun pengunjung luar.

“Saya percaya kawasan luar bandar, seperti di Kota Belud, mempunyai potensi untuk membangunkan produk Pelancongan Gelap yang boleh dijadikan strategi pemasaran baharu bagi sektor pelancongan Sabah.

“Sebagai contoh, peristiwa Perang Pandasan pada 1910-an berpotensi dipromosikan sebagai Pelancongan Gelap luar bandar di daerah ini. Perang Pandasan ini merupakan satu peristiwa sejarah masyarakat Kota Belud yang boleh menambah nilai aktiviti pelancongan di sini.

“Pada masa yang sama, pengendali inap desa atau pengusaha pelancongan berasaskan komuniti mungkin boleh menambah atau mengadakan sesi bercerita sebagai sebahagian daripada aktiviti yang ada di tempat masing-masing, di mana pengusaha meluangkan masa bersama pengunjung mereka dan menceritakan peristiwa sejarah lalu atau kisah ‘folklore’ (cerita rakyat) di daerah ini,” ujar Joniston.