Lembaga Pelabuhan Labuan akan kaji aduan berkaitan tarif baharu pelabuhan

File photo of Labuan Port.

LABUAN: Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) akan mengkaji aduan berkaitan tarif pelabuhan dikenakan oleh pengendali yang baru dilantik bagi Labuan Liberty Port, yang didakwa lebih tinggi berbanding sebelumnya, untuk menjaga kepentingan pengguna di pulau bebas cukai itu.

Bernama melaporkan Timbalan Pengerusinya, Datuk Chin Hon Vui sebagai berkata kajian itu akan menumpukan kepada impak tarif ke atas aliran masuk dan aliran keluar kargo menerusi Labuan Liberty Port dan ke atas barangan penting kepada pengguna tempatan.

Datuk Chin Hon Vui

“Ahli lembaga LPA menerima aduan daripada komuniti perniagaan dan pengguna pelabuhan mengenai dakwaan tarif tinggi yang dikenakan oleh pengendali baharu pelabuhan…kami akan meneliti isu itu untuk menyelesaikannya secara baik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) mengambil alih pengurusan  Labuan Liberty Terminal pada April dan akan mengendalikan operasi dan pengurusan kemudahan pelabuhan itu bagi tempoh enam tahun akan datang.

Chin berkata LPA akan mengadakan pertemuan dengan pengendali pelabuhan dan komuniti perniagaan (melibatkan pengimport, pengeksport dan pengguna pelabuhan) pada 28 Ogos ini bagi membincangkan pelbagai isu terutamanya tarif pelabuhan.

Bekas pengerusi LPA Datuk Seri Wee Jeck Seng sebelum ini mengadakan pertemuan dengan komuniti perniagaan dan pengendali baharu sebelum tarif itu disemak semula.
Ini bagi membolehkan pengendali pelabuhan mendapatkan input daripada pengguna pelabuhan dan pihak-pihak berkaitan untuk mencapai kata sepakat mengenai isu-isu sensitif (tarif pelabuhan), katanya.

Sementara itu, Dewan Perniagaan Cina Labuan (LCCC) melahirkan rasa tidak puas hati dengan caj baharu pelabuhan yang diperkenalkan oleh pengendali baharu itu yang didakwanya boleh meningkatkan lagi kos hidup.

Presidennya, Datuk Wong Kii Yii berkata kebiasaannya apabila kos barangan import meningkat, syarikat/ejen perkapalan atau penerima konsain kelaknya akan melepaskan kos kepada pengguna,

“Perkara ini amat membimbangkan dan kami menggesa pengerusi LPA yang baru dilantik Datuk P Kamalanathan Panchanathan agar dapat menyelesaikan isu ini,” katanya.