Lelaki Warga Emas Bakar Rumah Sendiri, Melecur 40% Seluruh Badan

TAMBUNAN: Akibat berselisih faham dengan isterinya, seorang lelaki warga emas bertindak nekad membakar rumahnya sendiri dalam kejadian di Kampung Kiukad Lotong, Tambunan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintenden Nor Rafidah Kasim berkata akibatnya, rumah mangsa musnah dijilat api manakala lelaki terbabit melecur 40%.

Sebuah kenderaan turut terbakar.

Nor Rafidah berkata siasatan awal mendapati, lelaki berusia 62 tahun itu telah berselisih faham dengan isterinya sebelum dia bertindak membakar rumahnya sendiri.

Katanya polis menerima panggilan telefon dari orang awam mengenai kejadian itu jam 10:36 malam.

“Menurut saksi di tempat kejadian, badan mangsa melecur terkena api semasa mangsa ingin menyalakan api.

“Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Tambunan Desmond Ak Micky @ Dominic berkata berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.32 malam.

Katanya beliau mengetuai sepasukan 8 pegawai dan anggota dari BBP Tambunan ke lokasi kejadian yang terletak 21 kilometer dari balai.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal dengan keluasan 20 x 30 kaki yang terbakar 100%. Sebuah kenderaan jenis Isuzu Dmax turut terbakar 30%.

“Jentera bomba mengalami kesukaran ke lokasi rumah terlibat kerana laluan yang sempit dan terpaksa menggunakan Utiliti Vigo sejauh 2 kilometer dari jalan besar.

“Lelaki yang melecur di seluruh badan telah mendapat rawatan awal oleh pasukan
Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan kenderaan EMRS untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Kebakaran dilaporkan terkawal jam 11.10 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya jam 12.10 tengah malam.