Lelaki Terjun Sungai Di Beaufort Diselamatkan Bomba

BEAUFORT : Seorang lelaki yang bertindak terjun dari jambatan di Jalan Baru Beaufort, di sini, berjaya diselamatkan bomba, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 6.48 petang semalam.

Katanya, 9 pegawai dan anggota bersama jentera dikerah ke lokasi kejadian yang terletak 4 kilometer dari balai.

Bagaimanapun, sebelum ketibaan jentera bomba, lelaki berusia 39 tahun itu telah diselamatkan anggota dari BBP Beaufort yang bertugas semasa syif.

“Semasa jentera dalam perjalanan ke lokasi, lelaki itu telah diselamatkan oleh anggota Skuad A BBP Beaufort PBB Azhar.

“Lelaki itu ditarik ke tebing sungai oleh PBB Azhar dan kemudiannya diserahkan kepada anggota bertugas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setelah memastikan tiada kemerbahayaan lain, operasi ditamatkan jam 7.19 malam.