Lelaki Tempatan Ditahan Miliki Ganja Seberat 1,158 Gram.

Zaini (tengah) menunjukkan ganja yang berjaya dirampas JSJN Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pasukan polis Sabah berjaya merampas dadah jenis ganja seberat 1,158 gram berikutan tangkapan seorang lelaki tempatan di tepi jalan bersebelahan sebuah restoran di Taman Dixon, di sini pada Rabu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, rampasan ganja bernilai RM 2,500 itu adalah rampasan pertama melibatkan dadah jenis ganja pada tahun ini.

Beliau berkata, ketika ditangkap, lelaki tempatan berusia 40an yang berada dalam keadaan mencurigakan itu dilihat sedang berdiri di tepi sebuah kereta jenis Subaru berwarna putih di tepi jalan bersebelahan Restoran Yun Man di Taman Dixon.

Ketika Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) memeriksa badan suspek, polis tidak menemui apa-apa barang yang salah.

Zaini menunjukkan ketulan-ketulan kecil dadah yang dirampas melalui tangkapan lelaki tempatan itu

Bagaimanapun pemeriksaan ke atas kereta itu mendapati terdapat sebuah beg hitam yang diletakkan di bahagian bawah pelapik kaki pemandu. Beg itu mengandungi dua ketulan besar yang didalamnya mempunyai 12 ketulan kecil mampat dadah jenis ganja seberat 214 gram.

”Penahanan suspek membawa polis ke rumah suspek di Taman Cantek, Kota Kinabalu.

”Hasil pemeriksaan di rumah itu menemukan polis dengan sebuah bagasi berwarna hitam yang mempunyai lapan paket plastik besar dan setiap satunya mempunyai lima paket ganja kecil, yang kesemuanya berjumlah 40 paket kecil seberat 944 gram,” katanya semasa Sidang Media, di Ibu Pejabat Polis Sabah, di sini pada Jumaat.

Suspek yang berasal dari Papar itu ditahan reman bermula tarikh ditangkap sehingga 27 Februari ini untuk siasatan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan.

Dengan penahanan suspek itu, polis percaya suspek mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran ganja yang sedang disiasat oleh JSJN Sabah.

Berdasarkan kes-kes sebelum ini, ganja itu dipercayai untuk diletakkan dalam rokok untuk diedarkan di pusat-pusat hiburan.

Menurutnya, polis masih mengesan siapa pemilik kenderaan berkenaan kerana plat nombornya berasal dari Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam perkembangan lain, Zaini berkata, sejak Januari hingga 21 Februari lalu, polis berjaya menangkap 2,299 orang dibawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun 1952.

Daripada jumlah itu, sebanyak 168 pengedar dadah telah ditangkap.

Katanya, rampasan dadah paling banyak adalah dadah jenis syabu yang berjumlah seberat 3,907.81 gram.