Lelaki Tempatan Ditahan Memiliki Syabu

526

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan polis kerana memiliki dadah jenis syabu seberat 65.7 gram bernilai RM3,285 di Kampung Pasir Putih, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, terdahulu pihaknya menerima maklumat berhubung aktiviti penjualan dadah sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika pemantauan dilakukan, anggota polis menemui seorang lelaki sedang menunggang sebuah motosikal berwarna merah melalui kawasan tersebut dalam keadaan mencurigakan.

“Lelaki berumur 33 tahun itu kemudian bertindak cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis di situ, namun gagal,” katanya, hari ini.

Tambah Peter, hasil pemeriksaan, polis berjaya menemukan 52 paket plastik lutsinar pelbagai saiz yang disimpan dalam beg pinggang yang dipakai suspek.

“Semua paket plastik itu mengandungi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu dengan berat keseluruhan 65.7 gram.

“Ujian air kencing ke atas suspek juga menunjukkan positif mengandungi amphetamine dan methaphetamine,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama.