Lelaki Tempatan Ditahan Kerana Aktiviti Pengeboman Ikan Di Semporna

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menahan seorang lelaki tempatan bersama lapan unit peledak lengkap dengan sumbu yang dipercayai menjalankan aktiviti pengeboman ikan di Pulau Omadai dekat sini, semalam (Selasa).

Komander PPM Wilayah Empat, Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz berkata suspek berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6.50 pagi selepas pihaknya terserempak sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan teliti ke atas bot, ditemui lapan botol kaca, dua bungkusan plastik yang mengandungi baja ammonia termasuk lapan unit peledak dipercayai peralatan untuk menjalankan aktiviti pengeboman ikan,” katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Menurutnya, dalam kejadiaan itu turut dirampas bot, enjin sangkut Yamaha Enduro 40HP, tong gas, tong minyak, 7.5 liter minyak, dua bakul berisi tali dan dua tong ikan yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM13,466.

Sementara itu, Yazib berkata pihaknya turut menahan dua lelaki di perairan North East Pulau Mataking kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah untuk pergerakan antara Filipina dan Malaysia dan tidak melalui kawasan yang diwartakan Jabatan Imigresen.

Katanya, dua lelaki ditahan itu merupakan seorang juragan tempatan berusia 46 tahun dan anak kapal berusia 42 yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Ketika kejadian difahamkan mereka bergerak menggunakan bot dari Pulau Sitangkai, Filipina dengan tujuan untuk balik ke Kampung Bangau-Bangau di Semporna,” katanya.

Beliau berkata tangkapan dan barangan rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk diserah ke balai polis.

Dalam satu kes asing, Polis Marin Semporna menahan dua lelaki warga Filipina di kawasan Pulau Boheian dekat sini, selepas cuba masuk ke daerah ini secara haram, pagi tadi (Rabu).

Mohd Yazib berkata anggotanya yang membuat rondaan dalam Ops Gelora Khas di kawasan berkenaan terserempak dengan bot mencurigakan sebelum menahan suspek berusia 29 dan 32 tahun itu kira-kira pukul 10.55 pagi.

“Kedua-dua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta mengaku baru tiba dari Sibugal, Filipina,” katanya dalam kenyataan di sini.