Lelaki Tempatan Ditahan Cuba Seludup 40 LPG Ke Indonesia

73
Suspek bersama 40 tong gas LPG ditahan dihadapan Pasar Ikan Tawau.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas dikesan cuba menyeludup sebanyak 40 tong gas petroleum cecair (LPG) ke Indonesia pagi ini.

Suspek berusia 34 tahun itu ditahan di kawasan letak kenderaan hadapan Pasar Ikan Tawau.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Assistan Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam kejadian pukul 6 pagi itu, pihaknya turut merampas lori yang digunakan suspek dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM37,250.

MOHAMAD PAJERI

“Menerusi Unit Risikan Marin, kami mendapat maklumat berlaku aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi dilokasi kejadian.

“Hasil pemerhatian yang dilakukan, anggota bertugas menahan suspek untuk pemeriksaan seterusnya membawa kepada penemuan 40 tong gas LPG yang disimpan sebuah lori jenis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, lelaki berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Hasil siasatan suspek mengaku sudah dua bulan terbabit dengan aktiviti penyeludupan dan barangan yang dirampas hari ini akan dibawa ke Indonesia menerusi Pulau Sebatik dan Sungai Melayu.

“Malah suspek turut menggunakan lori milik majikannya tanpa kebenaran untuk menjalankan aktiviti haram itu,” katanya.

Sehubungan itu, suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 22(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum denda sehingga RM 1 juta atau penjara atau kedua-duanya sekali.