Lelaki Rentung Kemalangan Di Tuaran

TUARAN : Seorang lelaki rentung apabila kenderaannya terbabit dalam kemalangan
dengan sebuah kenderaan lain di Kampung Tambalugu, di sini, petang semalam.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohd Abdul Qawie Abdul Gapar berkata mangsa dikenali Mohd Fairus Jasni, 38, yang berada di dalam kenderaan perodua Bezza, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Manakala 2 lagi mangsa termasuk seorang kanak-kanak dalam kenderaan perodua Myvi tidak mengalami kecederaan.

Mohd Abdul Qawie berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu jam 4.48 petang dan sepasukan 10 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 8 kilometer dari balai.

“Kemalangan melibatkan kenderaan jenis Perodua Myvi yang bertembung dengan Perodua Bezza menyebabkan kenderaan Perodua Bezza terbakar 100%.

“Terdapat seorang mangsa terlibat dilaporkan rentung di dalam kenderaan Perodua Bezza manakala 2 orang mangsa di kenderaan Perodua Myvi tidak mengalami kecederaan.

“Operasi pemadaman menggunakan 1 aliran salur bantu mula menggunakan sumber air dari jentera,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan seterusnya diserahakan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

2 mangsa kemalangan yang terselamat ialah seorang wanita berusia 33 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun.

Katanya selepas melakukan
pemeriksaan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain wujud, operasi ditamatkan jam 7.25 petang.