Lelaki Rentung Dalam Kebakaran Di Menumbok

hiasan illustration fire api kebakaran
Gambar hiasan sahaja.

BEAUFORT: Lelaki berusia 50an rentung dalam kebakaran yang berlaku kira-kira 6 pagi tadi di Kampung Melikai, Menumbok.

Mangsa, Mohd Ikmal Abdullah ditemukan rentung di bahagian dapur rumahnya selepas pasukan bomba memadamkan kebakaran yang memusnahnya sepenuhnya rumah mangsa.

Difahamkan mangsa yang tinggal bersama tiga ahli keluarganya tidak sempat menyelamatkan diri dan terperangkap dalam rumah ketika kejadian berlaku.

Ketua Zon Bomba Beaufort, Anddre Andrew berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 6.12 pagi dan sebaik pasukan bomba tiba ditempat kejadian, dua rumah sedang terbakar dan musnah sepenuhnya.

Operasi memadam kebakaran segera dilakukan sehingga api berjaya dikawal sepenuhnya. Sebaik api dipadamkan sepenuhnya, seorang mangsa ditemukan rentung di bahagian dapur rumah.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan punca kejadian masih dalam siasatan.