Lelaki Parah Tersepit Dalam Kemalangan Babit Dua Kenderaan

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Seorang lelaki parah selepas kenderaan Perodua Axia yang dipandu bertembung dengan lori Nissan di Kilometer 38, Jalan Semporna-Tawau, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, 23, mengalami patah kaki kanan dan pendarahan dalaman, manakala pemandu lori, lelaki, 28, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Sabarudin Rahmat, berkata, sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan cuba memintas kenderaan dihadapannya dengan masuk ke lorong bertentangan.

“Dalam masa sama, mangsa tidak menyedari sebuah lori dari arah bertentangan turut berasa di situ menyebabkan rempuhan berlaku,” katanya.

Kejadian itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu selepas kenderaannya remuk.

Sabarudin berkata, mangsa kemudian berjaya dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan dihantar ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, JBPM Sabah menerusi kenyataan media hari ini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.45 tengah hari.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati seorang mangsa cedera dan tersepit pada kenderaan Perodua Axia.

“Mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya.