Lelaki Parah Terjun Dari Tingkat Lima Bangunan

78

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Seorang lelaki parah termasuk patah kaki selepas bertindak terjun dari tingkat lima sebuah pusat beli-belah, di Jalan Kuhara, tengah hari tadi.

Menurut saksi, dalam kejadian pukul 12.15 tengah hari tadi, lelaki terbabit terjatuh ke atas sebuah Proton Saga yang diparkirkan di lokasi kejadian.

Turut cedera seorang wanita yang juga pemandu kenderaan terbabit.

Difahamkan lelaki dianggarkan berusia 50-an itu dikatakan selalu berlegar di pusat beli-belah berkenaan dan didakwa mengalami masalah tekanan jiwa.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu segera menghubungi polis dan lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk rawatan lanjut.

Sehingga kini, polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu.