Lelaki Pandu 4×4 Hilang, Kereta Dihanyutkan Arus Di Sipitang

Kenderaan mangsa ditemukan pada jarak 100m dari jambatan ia dihanyutkan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SIPITANG: Cubaan seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda menyeberangi jambatan yang dinaiki air bertukar tragedi apabila kenderaan dinaiki dihanyutkan arus di Sungai Muaya berdekatan Kampung Mendulung, di sini pada Ahad.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemandu lelaki berusia 64 tahun itu masih diteruskan.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba & Penyelamat (JBPM) memaklumkan kenderaan mangsa ditemukan pagi tadi (Isnin) pada jarak 100meter dari jambatan Kampung Mendulung yang dilalui mangsa sebelum kenderaan dinaiki dihanyutkan arus.

Bagaimanapun, mangsa tidak berada dalam kenderaan berkenaan.

Operasi SAR diteruskan bagi mencari mangsa yang hilang dipercayai dihanyutkan arus.

Oleh itu, pasukan bomba masih meneruskan operasi mencari mangsa yang dikenali sebagai Marthtn Padan.

Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada 9.40 malam memaklumkan sebuah kereta pacuan empat roda dihanyutkan arus sungai semasa cuba menyeberangi jambatan yang dinaiki air.

Maklumat awal dari orang awam, terdapat seorang pemandu lelaki berada dalam kenderaan yang hanyut dibawa arus.

Pasukan Bomba dari Balai Bomba Sipitang kemudian bergegas ke lokasi dan menjalankan operasi mencari kenderaan dan mangsa sehingga 1.09 pagi.

Operasi SAR kemudian ditangguh dan dimulakan semula pada 6.28 pagi Isnin yang membolehkan pasukan SAR menemukan kenderaan mangsa.