Lelaki Palauh Ditahan Miliki Bahan Letupan Bom Ikan

Lelaki palauh yang ditangkap kerana miliki bahan letupan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SEMPORNA: Seorang lelaki palauh yang memiliki bahan letupan untuk mengebom ikan ditangkap di Tanjung Pantau-Pantau Pulau Bum Bum semasa operasi Op Pensura Pasukan Polis Marin Semporna, di sini pada Selasa.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, hasil maklumat Unit Risikan Marin mereka berjaya menahan sebuah perahu yang mencurigakan semasa menjalankan operasi di sekitar pulau berkenaan.

Hasil pemeriksaan ke atas perahu yang menggunakan enjin pam itu menemukan kit detonator,baja ammonia dan botol kaca yang dipercayai digunakan untuk membuat bahan letupan.

Perahu yang dijuragani seoran lelaki palauh berusia 45 tahun itu dilihat mahir dalam pembuatan bom ikan.

Bahan membuat letupan bom ikan yang ditemui di perahu dinaiki lelaki palauh di perairan Pulau Bum Bum.

Tangkapan dan rampasan yang bernilai RM6,563 itu dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna untuk tindakan lanjut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 atas kesalahan membuat, memiliki dibawah jagaannya bahan letupan. Jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.