Lelaki Maut Tersepit Dalam Traktor

Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam traktor dilakukan pasukan bomba.

Oleh NORA AHMAD
BEAUFORT: Seorang lelaki maut selepas tersepit di dalam traktor yang dipandunya dalam kejadian di Kampung Luagan Rampang, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang, difahamkan traktor itu hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke dalam longkang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.50 petang berhubung kejadian itu.

Katanya, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort bersama jentera dikejar ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai.

“Menurut Komander Operasi, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Traktor Kobuto telah hilang kawalan lalu terbabas sendiri masuk ke longkang.

“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jurucakap berkata, identiti mangsa tidak dapat diperolehi bagaimanapun mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi kemudian ditamatkan pada pukul 6.30 petang dan sebelum jentera bertolak balik, anggota telah membuat pemeriksaan terakhir bagi memastikan kawasan kemalangan selamat dilalui oleh semua jenis kenderan lain,” katanya.