Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Semasa Panjat Pokok Untuk Petik Buah

SIBU: Seorang lelaki maut selepas terkena renjetan elektrik ketika memanjat pokok untuk memetik buah dabai di Jalan Lukut/Penyulau, Kanowit kira-kira 57 kilometer dari pusat bandar Sibu di sini, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit Arrahman Chik berkata semasa kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa Ting Siew Kiong, 52, telah memanjat pokok setinggi kira-kira 10.6 meter sambil membawa galah.

“Ketika berada di atas pokok, galah dibawa mangsa telah tersentuh kabel eletrik berhampiran menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri di atas pokok berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata keadaan cuaca hujan pada ketika itu juga menyukarkan pasukan bomba untuk menurunkan mangsa.

“Mangsa akhirnya berjaya diturunkan menggunakan ‘Hydraulic Sky lift Crane’ setelah bomba meminta bantuan SESCO memutuskan alliran elektrik di kawasan kejadian,” katanya menambah mayat mangsa diserahkan kepada Polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada 6.35 petang.