Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam insiden di Jalan Yayasan Tebagu, Kampung Numbak, hari ini.

Mangsa yang berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir di lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.03 pagi.

Katanya, sepasukan empat pegawai dan anggota bersama kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas,
dikerah ke lokasi kejadian yang terletak 14 kilometer dari balai.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi didapati seorang mangsa lelaki berumur 37 tahun terkena renjatan elektrik.

“Pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) tiba di lokasi kejadian untuk memutuskan bekalan elektrik.

“Mangsa disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan KKM seterusnya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pasukan bomba membuat pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain dan operasi ditamatkan jam 9.02 pagi tadi.