Lelaki Maut Kereta Viva Terjatuh Dalam Gaung Di Pitas

591
Kenderaan mangsa yang terjatuh ke dalam gaung.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA MARUDU: Seorang lelaki maut apabila kenderaan Perodua Viva dinaiki terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 meter di Jalan Rosob Dandun Pitas, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Mohd Izaan Abdullah ketika mengesahkan kejadian itu memaklumkan bahawa mangsa dikenali sebagai Jalmen Atang,34 dan beralamat di Kampung Bilangau Kecil Pitas.

Beliau bekata, kemalangan yang berlaku kira-kira 11.10 malam pada Jumaat itu dipercayai akibat terbabas sendiri.

Kenderaan mangsa bagaimanapun hanya ditemui penduduk sekitar pada 8.30 pagi Sabtu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Kg Bilangau Kecil ke Kg Rosob Pitas.

“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum terjatuh ke dalam gaung setinggi 20 meter.

“Kenderaan itu kemudian temasuk ke dalam anak sungai. Orang kampung memaklumkan terdengar bunyi dentuman semasa kejadian. Bagaimanapun mangsa hanya dijumpai pada pagi Sabtu,” jelasnya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kes yang sama, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Marudu memaklumkan menerima panggilan kecemasan jam 8.31 pagi berhubung kes itu. Kemudian pasukan bomba terus bergegas ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mayat mangsa dari dalam kenderaan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk siasaan lanjut.