Lelaki Maut Kereta Terbabas Sendiri

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut apabila kenderaan dinaiki terbabas sendiri hingga tenjuman ke dalam parit di Jalan Lintas Kepayan dalam kejadian yang berlaku, di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7 malam itu, mangsa Lee Kian Siang @ Alexander Lee, 61, difahamkan sedang dalam perjalanan dari Kampung Ganang, Kepayan menuju ke rumahnya di Kampung Kembau, Penampang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu kenderaan seorang diri sebelum kenderaan dinaiki terbabas berhampiran kawasan stesen minyak di Jalan Lintas Kepayan.

Berdasarkan keterangan saksi mata yang berada di lokasi kejadian, mangsa memandu kenderaan dalam kelajuan yang tinggi sebelum kenderaannya terbabas ke dalam parit di hadapan simpang keluar sebuah stesen minyak.

Akibat kemalangan, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth.

Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa tidak mabuk namun, sampel darah akan diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis alkohol dan dadah.

“Hasil siasatan juga mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa yang hilang kawalan semasa memandu hingga menyebabkan kematian kepada diri sendiri. Namun, siasatan masih diteruskan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.