TAWAU – Seorang lelaki maut selepas kereta pacuan empat roda dipandunya berlanggar dengan lori muatan tong ikan di Batu 23 Jalan Apas dekat sini, petang tadi (Jumaat).
Dalam kejadian 3.50 petang itu, mangsa, Taufik Chelly, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata kejadian itu berpunca daripada kecuaian pemandu lori yang gagal mengawal kenderaan sehingga masuk ke laluan bertentangan dan menyebabkan kemalangan.
“Semasa di lorong kanan, pemandu lori yang dalam perjalanan dari bandar Tawau menuju ke Semporna ketika hujan telah terbabas ke pembahagi jalan dan sebahagian lori telah masuk ke laluan bertentangan.
“Namun belum sempat pemandu itu mengawal lorinya, sebuah kenderaan jenis Toyota Rav4 yang dipandu mangsa datang dari arah bertentangan terlanggar bahagian kanan belakang lori, lalu kedua-dua kenderaan terbabas dan terbalik,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, pemandu lori hanya mengalami luka-luka kecil dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam perkembangan lain di LAHAD DATU, Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan seorang lelaki warga Filipina selepas cuba menyeludup keluar 25 jerigen disyaki berisi petrol di perairan Pulau Omadal di Semporna pada Rabu malam.
Komandernya, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata lelaki berumur 55 tahun yang berasal dari Kepulauan Tawi-Tawi itu ditahan Pasukan Polis Marin Semporna ketika membuat rondaan di perairan itu kira-kira pukul 7.40 malam.
“PPM yang terserempak dengan bot pam mencurigakan telah menahan dan memeriksa bot berkenaan, didapati suspek membawa 16 jerigen mengandungi 480 liter (bahan api) bersama sembilan jerigen lagi mengandungi 225 liter (bahan api) disyaki bagi tujuan menyeludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.
Menurutnya, suspek dan hasil rampasan termasuk sebuah perahu telah dibawa ke Pangkalan Polis Marin Semporna untuk tindakan lanjut.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),” katanya.
Wan Bari berkata, orang ramai yang meyaksikan sebarang aktiviti mencurigakan dan melanggar undang-undang negara dinasihati agar melaporkan kepada Pusat Operasi ESSCom di talian 089-863181 untuk tindakan lanjut.