Lelaki Maut, Kenderaan Dinaiki Terbabas

Oleh SURAIDAH ROSLAN
BEAUFORT: Seorang lelaki maut apabila kenderaan yang dinaiki hilang kawalan dan mengundur ke belakang sebelum terbabas dan kemudian terbalik di kawasan Hutan Simpan Lumadan, di sini petang semalam.

Mangsa, Kusan Anumanthan Kumar,46, yang merupakan warga India itu dipercayai baru balik dari menjalankan kerja-kerja pemasangan kabel dan pencawang elektrik di kawasan hutan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superitendan Azmir Abd Razak berkata, kejadian berlaku pada 1.15 petang semalam. Dalam kejadian itu, dipercayai kenderaan dinaiki mangsa terbabas sendiri, hingga menyebabkan seorang penumpang maut akibat tersepit.

Kemalangan berlaku apabila pemandu kenderaan pacuan empat roda dalam perjalanan pulang mengambil mangsa bersama pekerja-pekerja lain di kawasan Hutan Simpan Lumadan itu.

Apabila tiba di kawasan berbukit, kenderaan dipandu lelaki warga tempatan itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas.

“Akibat daripada kejadian itu, salah seorang daripada tujuh penumpang yang berada di bahagian belakang kenderaan itu tersepit dan mengalami cedera parah di bahagian leher. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Pemandu serta enam penumpang lain hanya mengalami cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Azmir berkata, siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan oleh kecuaian pemandu yang gagal mengawal pergerakan kenderaan hingga menyebabkan berlaku kemalangan.

Tiada sebarang unsur khianat atau jenayah dikesan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.