Lelaki Maut Jatuh Dari Tingkat 23

PENAMPANG: Tindakan seorang lelaki memanjat masuk ke rumah teman wanitanya bertukar tragedi apabila mangsa terjatuh dari tingkat 23 sebuah kondominium di Jalan Bundusan di sini semalam.

Dalam kejadian pada 7 malam itu, mangsa yang berusia 27 tahun ditemukan oleh orang awam dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di tingkat bawah kondominium tersebut.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, selepas dimaklumkan tentang kejadian itu, sepasukan polis ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Apabila tiba di lokasi, mangsa yang berada dalam keadaan tertiarap sudah meninggal dunia. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut.

Mohd Haris berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 23 kondominium itu ketika cuba memanjat masuk ke rumah sewa teman wanitanya melalui tingkap bahagian dapur.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.