Lelaki Maut Ditikam, Suami Isteri Ditahan Bantu Siasatan

Lokasi mangsa dibunuh.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Seorang lelaki warga Indonesia ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah kilang bata Kampung Telisai, Kilometer 62, Tungku, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11.40 malam itu, mayat Abdul Latif Saripuddin, 49, ditemukan terbaring dan berlumuran darah di rumah pekerja kilang berkenaan dengan kesan tikaman di perut.

Terdahulu, seorang wanita yang tinggal berjiran difahamkan terdengar jeritan mangsa sebelum bertindak menghubungi majikan mereka.

Majikan dan suaminya kemudian segera ke lokasi kejadian dan bertindak menendang pintu rumah mangsa selepas mendapati ia berkunci.

Sebaik pintu dipecahkan, mereka menemukan mangsa terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, mangsa tinggal bersendirian sejak empat tahun lalu, selepas keluarganya pulang ke Indonesia.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur pecah rumah memandangkan bahagian dalam (rumah) tidak berselerak sekali gus memungkinkan dilakukan orang yang dikenali mangsa,” katanya.

Katanya, polis telah menahan seorang wanita warga Filipina berumur 41 tahun dan suaminya yang juga rakyat tempatan berumur 60 tahun dari kampung sama bagi membantu siasatan.

Menurut Nasri, suspek wanita pernah bekerja sebagai pembantu rumah mangsa dan diberhentikan kerja dua hari lalu.

“Bagaimanapun, siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian tersebut.

“Kedua-dua suspek kini direman manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.