Lelaki Maut Dilanggar Kereta Api Di Beaufort

566

BEAUFORT: Seorang lelaki maut dilanggar kereta api di Kilometer 1.5 antara Stesen Beaufort dan Tanjung Aru di sini, hari ini.

Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 5.10 pagi di landasan kereta api berhampiran sebuah kedai perabot.

Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Azmir Abd Razak berkata mangsa yang maut berusia lingkungan 20-an dan tiada dokumen pengenalan diri.

Katanya siasatan awal polis mendapati kereta api tersebut bertolak dari Stesen Beaufort pukul 5.02 pagi menuju ke Tanjung Aru dengan kelajuan 35 kilometer sejam.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian, pemandu kereta api ternampak satu objek melintang di landasan kereta api dan menyangkakan objek tersebut adalah sampah kerana keadaan ketika itu gelap.

Dalam jarak 20 meter pemandu nampak jelas bahawa objek tersebut adalah manusia lalu menggunakan brek kecemasan menyebabkan kereta api terseret dan menggilis mangsa yang mengalami cedera parah di kepala, katanya dalam kenyataan.

Azmir berkata pemandu kereta api berkenaan mempunyai 11 tahun pengalaman sebagai pemandu lokomotif. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat.