Lelaki Maut Dibaham Buaya Di Kinabatangan

KINABATANGAN : Seorang lelaki maut dibaham buaya ketika menyeberangi sungai
dalam kejadian di Ladang Lamag Sungai Pin di sini.

Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan separuh badan oleh pasukan pencari dan penyelamat, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 2.24 petang tadi.

Katanya sepasukan 5 pegawai dan anggota dari BBP Kinabatangan dikerah ke lokasi yang terletak 50 kilometer dari balai.

“Terdapat seorang lelaki telah dibaham buaya ketika menyeberangi sungai melalui jambatan kayu. Pasukan bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama agensi lain.

“Mangsa telah dijumpai dalam keadaan separuh badan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa dikenali Abdul Kadir. Butiran lanjut mangsa tidak diperoleh.

Operasi ditamatkan jam 5.10 petang tadi.