Lelaki Mati Ditembak Di Tongod Dipercayai Mangsa Samun – Polis

2583

KINABATANGAN: Seorang peniaga warga Pakistan ditemukan mati dengan kesan tembakan selepas dipercayai dirompak di kawasan Jalan Ladang KJS Sungai Melian, Tongod, kira-kira 160km dari sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt A. Sahak Rahmat berkata mangsa, Rozimand Sherin Khan, 33, sebelum itu masuk ke Kampung Sungai Imbak Tongod pada pukul 1.30 tengah hari dengan menunggang motosikal untuk mengutip hutang daripada pekerja ladang di kawasan tersebut.

SUPT SAHAK

Katanya, mayat mangsa kemudian ditemukan pada jam 4.30 petang di dalam semak di tepi jalan tersebut oleh seorang pemandu lori yang melalui kawasan itu.

Pemandu berusia 28 tahun itu memaklumkan penemuan mayat lelaki itu kepada mandur ladang kelapa sawit terbabit yang kemudian melaporkan kepada Penolong Ketua Balai Polis Tongod, katanya kepada Bernama, hari Ahad.

Katanya, siasatan awal mendapati semasa kejadian berlaku, mangsa dalam perjalanan keluar bersendirian dari kawasan Ladang KJS dengan menunggang motosikal.

Katanya, jarak perjalanan dari tempat mayat mangsa dijumpai ke kawasan perumahan pekerja Ladang KJS Sungai Milian lebih kurang 20 minit.

Menurutnya pemeriksaan awal ke atas mayat mangsa mendapati ada kesan kecederaan disyaki kesan tembakan pada bahagian leher sebelah kiri dan belakang badan sebelah bahu kiri.

Terdapat juga kesan kecederaan di bahagian dahi sebelah kanan, kepala sebelah kanan dan kaki sebelah kanan, katanya.

Beliau berkata polis tidak menjumpai motosikal yang ditunggang mangsa serta beg sandang dan telefon bimbit milik mangsa di tempat kejadian, dipercayai disamun sebelum dibunuh.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk bedah siasat dan sehingga kini belum ada tangkapan dibuat, manakala kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

IBU MAUT, KERETA DIPANDU ANAK HILANG KAWALAN

LAHAD DATU: Seorang wanita warga Indonesia maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandu anak lelakinya terbabas dan melanggar tiang Telekom serta pokok kelapa sawit di Kilometer 28 Jalan Lahad Datu-Sandakan, dekat sini, hari Ahad.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hamzah Ahmad berkata dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mangsa Liana Samauna, 46, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya berusia 28 tahun cedera di bahu kiri dan mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Lahad Datu.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan Toyota Vigo yang dipandu anaknya dari bandar Lahad Datu menuju ke Ladang Tung Hup di Kinabatangan telah hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan lalu melanggar sebuah tiang telekom serta dua pokok kelapa sawit sebelum kenderaan itu terbalik,” katanya dalam kenyataan di sini.

Hamzah berkata mangsa maut merupakan penyelia ladang manakala anaknya itu bekerja sebagai buruh kilang di Sandakan.