Lelaki Mabuk Maut Dibunuh, Anak Ditahan Bantu Siasatan

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Seorang warga emas maut dipercayai dibunuh anak lelakinya di Kampung Ulu Teburi, Tungku, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 8 pagi itu, mangsa, Talasai Kuyoh, 62, ditemukan tertiarap di kawasan lereng bukit kira-kira 50 meter dari kediamannya.

Difahamkan sebelum kejadian, suspek yang tidur di rumah keluarga isterinya dikejutkan mangsa dan memintanya datang ke rumah mereka untuk melakukan kerja.

Sebaik tiba di rumah mangsa, suspek dikatakan terus masuk ke dapur menyediakan sarapan untuk mangsa.

Suspek kemudian terdengar mangsa memanggilnya dari arah bawah rumah sebelum mendapati bapanya sedang minum minuman keras.

Berlaku pertengkaran antara mereka menyebabkan mangsa mengambil parang dan mengejar suspek, sambil melibas-libaskan senjata itu.

Lokasi kejadian.

Suspek kemudian melarikan diri ke arah sebuah lori dan mengambil sebatang besi kelapa sawit bagi mempertahankan diri.

Suspek juga dikatakan bertindak memukul mangsa beberapa kali selepas lelaki itu masih mengejar dan melibaskan parang ke arahnya.

Ekoran kejadian itu, mangsa kemudian terjatuh ke kawasan lereng bukit berhampiran.

Panik dengan keadaan itu, suspek kemudian bertindak melarikan diri ke rumah keluarga isterinya sebelum menceritakan perkara yang berlaku kepada mangsa.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan kejadian tersebut.

“Suspek kemudian ditahan oleh penduduk kampung sebelum menyerahkannya kepada polis dan memaklumkan kejadian tersebut, pada pukul 2 petang, semalam.

“Polis turut merampas beberapa barang milik suspek termasuk sebatang besi berukuran 61 sentimeter dan telefon bimbit,” katanya.

Menurut Nasri, suspek mendakwa mangsa sering memarahinya termasuk memaki apabila mabuk.

“Hasil siasatan yang dilakukan, mangsa mengalami beberapa kecederaan akibat tikaman benda tajam pada tangan, dagu dan kepala.

“Turut ditemukan sebilah parang berhampiran mayat mangsa ditemui,” katanya.

Mayat mangsa kemudian diserahkan ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat termasuk menjalani ujian Covid-19.

Sehubungan itu, suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.