Lelaki Mabuk Didenda Maksimum RM6,000 Di Tawau

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Seorang lelaki tempatan didenda maksimum RM6,000 selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Ngimpak Anak Lanting, 36, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kuhara, dalam daerah Tawau, pada 21 September 2019, pukul 11 malam.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, tertuduh ditahan polis ketika memandu sebuah jip jenis Ford Ranger, nombor pendaftaran ST4408P di lokasi kejadian kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

Pemeriksaan ujian pernafasan dilakukan ke atas tertuduh menggunakan peralatan SD2+ menunjukkan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 173 miligran etil alkohol dalam 100 mililiter darah, melebihi had dibenarkan sebanyak 80 miligram.

Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan dibawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan.

Hakim Mahkamah Sesyen Tawau Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman denda maksimum RM6,000, gagal bayar tiga bulan penjara, selepas mengambil kira kepentingan awam.

Awang Kerisnada turut memberi amaran keras terhadap tertuduh akan dikenakan hukuman penjara sekiranya melakukan kesalahan sama selepas ini.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superitendan Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.