Lelaki Lemas Semasa Cuba Selamatkan Orang Dibawa Arus

130

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUDAT: Niat murni seorang lelaki menyelamatkan mangsa yang dibawa arus tidak kesampaian apabila lelaki berkenaan ditemukan lemas.

Lelaki yang dikenali sebagai Abdul Salih Hamza,47, itu ditemukan lemas pada jarak 100 meter dari lokasi terakhir beliau dilihat.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 5.29 petang dan sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Sentay Bakau bersama empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba di lokasi, seorang lelaki dipercayai lemas ketika cuba menyelamatkan seorang mangsa yang dihanyutkan arus di Pantai Kelambu, Kudat.

Mangsa yang dibawa arus ditemukan dalam keadaan selamat manakala, lelaki yang cuba menyelamatkannya ditemukan pada jarak 100 meter dari lokasi sebenar kejadian.

Lelaki itu dihantar ke Hospital Kudat dan disahkan meninggal dunia.