Lelaki Jual Organ Manusia Direman

DEV KUMAR

KUCHING: Seorang lelaki yang disyaki terlibat dengan aktiviti pemerdagangan organ manusia direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Suspek berumur 48 tahun itu ditahan polis semalam selepas menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching kira-kira pukul 1.45 tengahari.

Timbalan Persuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar dalam satu kenyataan semalam berkata, suspek bertindak demikian selepas menyedari dirinya diburu oleh pihak polis kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pemerdagangan organ.

Terdahulu, kegiatan suspek terbongkar susulan satu artikel yang dikeluarkan oleh portal berita The Sun yang berpengkalan di United Kingdom mendedahkan kegiatan yang dijalankan oleh suspek.

Menurut artikel berkenaan, suspek mendakwa  telah mendalangi 45 penjualan buah pinggang menerusi laman Facebook selain turut mengenali lebih 100 orang yang berpotensi untuk menjual organ di seluruh dunia.

Artikel berkenaan turut mendakwa suspek telah bercakap besar kepada wartawan yang menyamar sebagai pembeli dengan mengatakan dia boleh mengatur urusan transplan organ secara haram kepada warga Britain dengan kos 85 ribu Pound Sterling  atau 465 ribu ringgit.

Malah, suspek dikatakan terbabit dalam aktiviti jual beli organ manusia dan berperanan sebagai orang tengah yang mengatur jual beli bahagian tubuh manusia sejak 2010.