Lelaki Hina Warga Sabah Mohon Maaf Melalui Facebook

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Setelah Polis Sabah mengeluarkan kenyataan akan menyiasat lelaki yang cuba mengugat keharmonian kaum di negeri ini, semalam seorang lelaki dari Johor tampil membuat permohonan maaf secara terbuka melalui Facebook.

Melalui video berdurasi 1 minit 19 saat itu, lelaki berkenaan meminta maaf sebab terlepas cakap dan menghina rakyat di negeri ini.

Katanya, beliau meminta rakyat Sabah sama ada di Sabah mahupun di Johor agar memaafkannya.

“Saya tahu memang saya salah, saya minta maaf banyak-banyak kepada rakyat Sabah. Saya ada marah, saya ada maki orang Sabah. Saya cakap orang Sabah bodoh, sial dan saya minta maaf banyak-banyak. Saya menyesal dan tidak akan buat lagi dan tidak akan menghina rakyat Sabah lagi,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook.

Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan seorang lelaki dari Johor yang mengeluarkan kata-kata yang boleh mengugat keamanan dan keharmonian kaum di negeri ini.

Katanya, satu rakaman suara berdurasi 34 saat tular di aplikasi Whatsapp yang menghina dan mendakwa orang Sabah yang pulang untuk mengundi semasa pilihan raya baru-baru ini bercampur dengan pendatang asing tanpa izin (PTI) dan kemudian membawa virus Covid-19 pulang ke Semenanjung Malaysia.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba membangkitkan pecah keamananan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas kesalahan penggunaan perkataan tidak wajar melalui kemudahan rangkaian.