Lelaki Hilang Selepas Masuk Hutan

SANDAKAN : Seorang lelaki dilaporkan hilang sejak petang Selasa lalu selepas masuk ke dalam hutan untuk tujuan yang belum diketahui di Batu 32, Ladang Ranggi, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata gerakan mencari mangsa yang dikenali Petrus Liman, 49, sedang giat dilakukan oleh sepasukan bomba dari BBP Beluran.

Katanya, lelaki berkenaan dilaporkan masuk ke dalam hutan kira-kira 4 petang, 21 Februari lalu dan belum pulang ke rumah sehingga kini.

Kehilangan mangsa dilaporkan kepada pihak berkuasa oleh abang iparnya.

Motif mangsa masuk ke kawasan hutan, tidak diketahui.

Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 12.59 tengahari, semalam (22 Februari).

Sepasukan bomba dari BBP Beluran dikejarkan ke lokasi kejadian di Batu 32, Ladang Ranggi, Sandakan yang terletak 45 kilometer dari balai.

Edoen berkata operasi mencari hari kedua bermula 7.35 pagi tadi dan tertumpu di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.